'Tanpa TMJ ini mungkin mustahil' (original) (raw)
Ketua jurulatih JDT II, Ervin Boban, mendedikasikan kemenangan meraih Piala Cabaran kepada pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sering memberi inspirasi kepada para pemain Harimau Selatan melakukan yang terbaik dalam semua pertandingan.
Boban, yang bermain untuk Johor dari 1989 hingga 1995 berkata, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu banyak menyumbang kepada kelab JDT dan JDT II.
Justeru katanya memenangi trofi Piala Cabaran adalah cara terbaik untuk menghargai pengorbanan TMJ.
JDT II memenangi edisi kedua Piala Cabaran selepas menewaskan UKM FC 6-5 pada penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas dua liga akhir di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur di Cheras malam tadi.
"Tanpa TMJ, ini (kemenangan) mungkin mustahil, kerana sejak dari mula lagi, baginda memberi sokongan penuh dari segi kemudahan (yang terbaik) hinggalah kepada para pemain.
"Saya berpendapat kita perlu memberi sesuatu kepada (Tunku Ismail) sebagai balasan pada akhir musim ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.
Boban juga berkata, kemenangan itu meredakan kekecewaan kepada skuad Harimau Selatan setelah tewas kepada Sabah pada Liga Premier musim ini.
Jurulatih dari Croatia berusia 54 tahun itu juga amat gembira selepas memenangi trofi Piala Cabaran sebagai jurulatih setelah memenangi Piala Malaysia sebagai pemain Johor pada 1991.
Dah beri yang terbaik
Dalam pada itu, pemain tengah JDT II, S Kumaahran menyifatkan kemenangan malam tidak mudah kerana UKM FC memberikan tentangan sengit kepada mereka.
Pada masa sama dia turut berterima kasih kepada TMJ yang banyak memberi kata-kata semangat kepada pemain untuk kembali bangkit selepas tewas kepada Sabah dalam perebutan kejuaraan Liga Premier 2019.
"Perjalanan kami pada musim ini ada naik dan turun. Kami hampir menang Piala Liga Premier, tetapi kekalahan kepada Sabah meranapkan harapan, namun kemenangan ini adalah pencapaian terbaik kita," jelas pemain skuad bawah 23 kebangsaan itu.
Sementara itu, Penolong Jurulatih UKM FC, Muhammad Juzaili Samion, memuji pemain skuad The Varsity Boys yang mempamerkan tentangan sengit kepada JDT II, namun mengakui sedikit terkilan gagal mendakap trofi Piala Cabaran buat julung kalinya.
Untuk rekod, UKM FC tewas dengan keputusan agregat 2-4 kepada Terengganu FC II pada dua aksi final edisi sulung Piala Cabaran pada musim lepas.
"Tak ada apa yang perlu dimalukan kerana pemain dah beri yang terbaik.
"Sepakan penalti itu adalah penentuan nasib dan para pemain perlu berbangga kerana mereka sudah buktikan pada perlawanan ini walaupun rata-rata mereka terdiri daripada pelajar UKM itu sendiri," jelas Muhammad Juzaili yang juga bekas pemain kebangsaan.
Berbeza pula dengan pandangan penjaga gol UKM FC, Khatul Anuar Md Jalil, yang kecewa gagal membantu pasukan berkenaan meraih kejuaraan sulung trofi Piala Cabaran.
"Untuk 120 minit kami dah bagi yang terbaik, tetapi sebagai penjaga gol saya kecewa kerana gagal memainkan peranan baik untuk membantu pasukan.
"Tapi saya puji rakan sepasukan yang menunjukkan karakter sebagai pasukan terbaik sejak dari awal perlawanan," menurut Khatul Anuar yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.
- Bernama