Kertas Kerja Webinar Warisan JB: Warisan Alam Bina dari Perspektif Kajian Morfologi Bandaraya Johor Bahru (original) (raw)

2022, WARISAN ALAM BINA DARI PERSPEKTIF KAJIAN MORFOLOGI BANDARAYA JOHOR BAHRU

Tinggalan bangunan warisan dan perkembangan Bandaraya Johor Bahru yang wujud pada hari ini merupakan manifestasi kecekapan pentadbiran dan pemodenan yang telah dibawa zaman-berzaman oleh pemerintahan Kesultanan Johor Moden. Sejarah Bandaraya Johor Bahru yang moden dianggap bermula pada tahun 1855 sebaik Dinasti Temenggong Johor mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Johor. Sempena Sambutan Ulang Tahun Pengisytiharaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) ke-28 pada tahun 2022, penulis telah mengusahakan sebuah pelaporan yang diharapkan dapat dijadikan sumber rujukan dan bahan bacaan masyarakat awam dalam usaha mengenali sejarah kewujudan serta perkembangan bandar yang terletak di penghujung Semenanjung Malaysia ini. Justeru, sebuah kajian yang dikenali sebagai “Kajian Dokumentasi Sejarah dan Warisan Alam Bina Bandaraya Johor Bahru, Johor Darul Takzim” ini telah disediakan sebagai sebahagian tugasan para pelajar kursus SBEW4193 Pemeliharaan dan Regenerasi Bandar, Program Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia sesi Semester 1 2020/2021. Para pelajar SBEW4193 telah diberikan tugasan menjalankan kajian garis masa sejarah, inventori dan pendokumentasian semula aset warisan ketara (bangunan) dan lokasi peristiwa bersejarah yang berlaku di sekitar kawasan ‘warisan’ Bandaraya Johor Bahru, Johor Darul Takzim sejak awal bandar ini diteroka dan dibuka. Pelaporan ini membincangkan penemuan hasil penelitian kajian sejarah dan perpustakaan berkaitan perisitwa pembukaan Tanjung Puteri yang kemudiannya dikenali sebagai Johor Bahru sehingga hari ini. Proses pengumpulan data inventori, pendokumentasian bangunan serta peristiwa bersejarah di sekitar kawasan tersebut telah diusahakan oleh para pelajar dan diselia oleh penulis sebagai pensyarah kursus ini sepanjang pelaksanannya. Sebahagian penemuan tersebut telah dirumuskan melalui penulisan ini. MBJB misalnya telah merekodkan terdapat 455 unit bangunan di sekitar kawasan pusat bandar asal (downtown) yang merangkumi deretan rumah kedai tradisional dan bangunan sesebuah dengan gaya seni bina Eclectic, Art Deco, Moden dan lain-lain. Taburan bangunan warisan tersebut tertumpu di sekitar Jalan Trus, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Ibrahim, Jalan Ayer Molek, Jalan Dhoby, Jalan Tan Hiok Nee, Jalan Segget dan Jalan Siu Nam, Jalan Meldrum, Jalan Sawmill dan Jalan Tun Abdul Razak. Terdapat juga bangunan ikonik sesebuah yang menjadi mercu tanda zaman berzaman kepada Bandaraya Johor Bahru. Selain kewujudan rumah kedai tradisional, kawasan tersebut juga telah merakam pelbagai peristiwa bersejarah yang menarik sepanjang evolusinya. Lokasi peristiwa tersebut dipetakan dan disusun melalui garis masa sejarah. Kawasan yang dikaji merupakan sebuah titik mula bandar yang membawa kepada perkembangan aktiviti perniagaan dan ekonomi bandar Johor Bahru sehingga hari ini. Diharapkan dengan penyediaan penulisan ini, masyarakat awam dapat mengenali dan memahami sejarah bandar ini dari perspektif warisan bandar.