Elemen thriller Islam dalam novel ‘Bidadari Bermata Bening’ Karya Habiburrahman El-Shirazy (original) (raw)

2021, RUMPUN JURNAL PERSURATAN MELAYU

Kajian ini merupakan sebuah kajian kepustakaan yang bertujuan membina konsep 'thriller' berasaskan nilai-nilai Islam. Konsep ini dibina dengan memanfaatkan idea Teori Takmilah (1995) dan konsep 'thriller' Trish Macdonald Skillman (2000) yang disesuaikan dengan keteranganketerangan dari sumber al-Quran. Tiga prinsip Teori Takmilah iaitu sastera yang estetik bercirikan takmilah, prinsip pengkarya yang mengistikmalkan diri dan prinsip khalayak bertujuan ke arah insan kamil digunakan bagi menjelaskan sifat teks, pengkarya dan khalayak sebagai tiga komponen penting yang mempunyai kaitan langsung dengan kehadiran unsur 'thriller' dalam teks kesusasteraan. Manakala unsur 'thriller' yang dikemukakan oleh Trish Macdonald Skillman iaitu emosi, kejutan, keliru, takut, sangkaan dan bahaya disesuaikan maksudnya dengan keterangan-keterangan dari sumber al-Quran. Makna baharu unsur 'thriller' dijadikan asas dalam kerangka konsep 'thriller' yang dibangunkan. Bagi membuktikan kesesuaian dan kebolehgunaan konsep ini sebagai metode kritik, kaedah ini diaplikasikan dalam kritik novel Bidadari Bermata Bening (2017). Berdasarkan analisis yang dilakukan, dapat dibuktikan kewujudan unsur-unsur 'thriller' iaitu emosi, kejutan, takut, sangkaan, keliru dan bahaya yang dialami oleh watak-watak yang berkait langsung dengan kesedaran Islam. Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa pengarang Muslim memasukkan unsur-unsur 'thriller' dalam novel bertujuan menimbulkan kesedaran agama ke arah menyempurnakan tanggungjawab kesasteraannya baik sebagai pengarang, pembaca dan teks yang membawa mereka ke arah kesempurnaan. Berasaskan dapatan kajian konsep 'thriller' Islam dapat dijadikan alternatif kepada konsep 'thriller' Barat bagi memahami unsur-unsur 'thriller' dalam karya-karya yang dihasilkan oleh pengarang Muslim dari perspektif yang berbeza.