PROSEDUR PENGURUSAN PRODUKSI TEATER (original) (raw)

PROSEDUR PENGURUSAN PRODUKSI TEATER, 2008

Abstract

Masyarakat penonton menilai sesebuah persembahan melalui apa yang terlihat olehnya pada malam persembahan; aspek lakonan, pengarahan dan elemen artistik yang dipersembahkan dan seringkali terlepas pandang kepada peranan penting yang dimainkan oleh tenaga produksi keseluruhannya. Kredibiliti hanya akan diberikan kepada pengarah dan pelakonnya sahaja. Pengarah dan pelakon bukanlah tunjang kepada sebuah produksi teater. Dua kelompok ini umpama tuan rumah dan isi rumah. Manakala yang menyokong kepada berdiri megahnya rumah itu adalah batu-batu serta tiang-tiang kayu. Di dalam kontek produksi, kayu dan batu ini adalah tenaga produksi yang terdiri daripada pengurus pentas sehinggalah kepada petugas-petugas bahagian. Kegagalan atau kejayaan sesebuah pementasan teater tidak seharusnya diukur melalui kelancaran semasa pementasan atau sambutan yang diperolehi dari penonton malah turut diukur melalui proses menghasilkan sebuah produksi sehingga ke malam pertama persembahan berlangsung. Organisasi pengurusan tenaga produksi yang baik menggabungkan usaha dkerjasama erat antara pelbagai pihak alam produksi yang akan menghasilkan satu produksi yang baik, mantap dan berkesan. Tidak ada produksi yang benar-benar berjaya tanpa sokongan daripada sebuah organisasi yang tersusun. Pengarah adalah tunggak produksi namun tanpa dibantu oleh ahli kumpulan yang berdedikasi dan memahami visi dan misi pengarah maka produksi tersebut akan menuju kepada kehancuran. Rata-rata produksi amatur masa kini seringkali bergerak dalam keadaan yang daif dan tidak tersusun. Dalam produksi amatur seorang pengarah memegang tanggungjawab yang terlalu penting mencakup pelbagai tugasan seperti mencari pelakon, mengurus kebajikan dan lain-lain. Pertindanan tugas seringkali berlaku. Antara masalah yang dapat dikenalpasti ialah kekurangan garis panduan yang boleh dirujuk khususnya panduan dalam Bahasa Malaysia. Penerbitan buku ini sedikit sebanyak dijangka dapat memenuhi kekosongan pasaran dalam panduan menghasilkan sebuah produksi yang tersusun dan berkesan. Prosedur Pengurusan Produksi Teater (Artistik) ini memfokus kepadaa pengurusan artistik sebuah persembahan teater. Untuk memahami sebuah teater, seseorang itu perlu memahami dunia teater serta aliran-aliran teater yang terdapat di dalamnya. Hanya dengan memahami dunia teater dan aliran-aliran yang mendokongnya maka akan memberikan kefahaman yang mendalam serta memudahkan sesebuah kumpulan itu untuk menguruskan aspek artistik sebuah produksi. Aspek artistik ini amat penting dan perlu difahami oleh kebanyakan kumpulan produksi. Diharapkan buku ini akan dapat membantu pembaca dan penggiat khususnya dalam penghasilan sebuah pementasan teater.

Andika Aziz Hussin hasn't uploaded this book.

Let Andika know you want this book to be uploaded.

Ask for this book to be uploaded.