FAKTOR-FAKTOR KEBERKESANAN PENGAJARAN BAHASA ARAB: SATU SOROTAN LITERATUR BERDASARKAN KAJIAN-KAJIAN LEPAS [FACTORS OF EFFECTIVENESS IN THE TEACHING OF ARABIC LANGUAGE: A LITERATURE REVIEW BASED ON PAST STUDIES (original) (raw)
2024, AFAQ LUGHAWIYYAH © PENERBIT UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN
Pengajaran Bahasa Arab merupakan cabang penting dalam pendidikan bahasa asing dan memainkan peranan penting dalam membantu pelajar menguasai kemahiran komunikasi yang efektif dalam Bahasa Arab. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan pengajaran Bahasa Arab melalui tinjauan terhadap kajian-kajian terdahulu yang telah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu. Dapatan-dapatan kajian yang diperoleh dan cadangan yang dikemukakan nanti sedikit sebanyak dapat memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran dan meningkatkan kompetensi guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini melibatkan analisis terhadap 16 kajian lepas yang telah dilakukan dalam konteks pengajaran Bahasa Arab. Data dianalisis dengan menggunakan kaedah meta-analisis untuk mengenal pasti corak dan konsistensi faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan pengajaran Bahasa Arab. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi keberkesanan pengajaran bahasa Arab di Malaysia. Pertamanya ialah interaksi aktif antara guru dan pelajar yang memainkan peranan penting. Hal ini bermaksud guru perlu terlibat secara proaktif dalam proses pengajaran, menjalin komunikasi dua hala, serta memberi contoh dan memimpin pelajar. Selain itu, persekitaran bahasa Arab yang kondusif dan memadai juga menjadi faktor penentu dalam proses pembelajaran. Penggunaan teknologi pendidikan dan pemilihan kaedah pengajaran yang sesuai dengan penggunaan teknik yang tepat juga menyumbang kepada keberkesanan pengajaran bahasa Arab. Faktor kelayakan dan kompetensi guru juga tidak boleh diabaikan, kerana guru yang berkelayakan dan kompeten memberi impak yang besar dalam pembelajaran bahasa Arab. Dengan memahami faktor-faktor ini, pendekatan pengajaran yang lebih efektif dan berfokus dapat dibangunkan, memberikan manfaat yang besar kepada proses pembelajaran Bahasa Arab. Kajian ini juga memberikan landasan kajian lanjutan dalam bidang ini dan membantu dalam memperkaya kaedah pengajaran bahasa Arab untuk generasi pelajar masa depan.