Seminar PDPC Abad Ke-21 Kebangsaan IPGK Sultan Mizan 2018 (original) (raw)

Penilaian ke atas pelaksanaan program merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh mana-mana organisasi. Dengan kata lain, penilaian keberkesanan ke atas sesuatu program merupakan satu proses bagi melengkapkan dan memantapkan sistem secara keseluruhannya. Hal ini semakin menjadi penting sekiranya program tersebut melibatkan sekumpulan besar peserta, pihak berkepentingan dan peruntukan bajet yang tinggi. Oleh itu, model instrumen penilaian yang sah sangat diperlukan bagi menjamin kualiti penilaian program yang dijalankan. Sehubungan itu, kajian ini adalah bertujuan untuk mengukur kesahan dan kebolehpercayaan model instrumen penilaian program di samping menentukan faktor-faktor utama yang dalam mempengaruhi program pendidikan dalam kalangan guru di seluruh Malaysia. Gagasan pembinaan instrumen ini adalah berdasarkan model penilaian konteks, input, proses dan produk (CIPP) yang dibangunkan oleh Stufflebeam (1967). Populasi dan sampel kajian ini terdiri daripada 1251 responden guru yang mengikuti program pensiswazahan guru di seluruh Malaysia. Daripada ujian pembersihan didapati hanya 517 sampel responden yang sah dimasukkan dalam analisis data, manakala melalui ujian jarak Mahalanobis pula didapati sejumlah 425 sampel responden diterima sebagai data yang sah. Analisis faktor pengesahan (CFA) telah dilakukan ke atas model pengukuran bagi menentukan item-item yang sah, manakala pengujian model cadangan pula bagi menentukan faktor-faktor yang diterima dalam instrumen penilaian keberkesanan program. Faktor Satu (Chi-square= 528.89, df= 180, Ratio=2.94, RMSEA=.068, TLI=.935, dan CFI=.944), Faktor Dua (Chi-square= 1058.16, df= 355, Ratio=2.98, RMSEA= .063, TLI= .925, dan CFI= .935) dan Faktor Tiga (Chi-square= 393.84, df= 135, Ratio=2.92, RMSEA=.067, TLI=.941, dan CFI=.954) masing-masing menunjukkan modelmodel pengukuran item ini telah mematuhi syarat yang diperlukan dalam pengujian indeks kesepadanan model. Melalui analisis model pengukuran yang dijalankan didapati beberapa item telah digugurkan kerana tidak memenuhi nilai beban faktor terpiawai, tidak berkorelasi antara itemitem dalam dimensi dan tidak menepati syarat model sepadan, berbanding dengan sejumlah 80 item indikator awal yang dicadangkan. Namun begitu, kajian ini telah mengesahkan terdapat tiga variabel yang menjadi faktor ke atas pembinaan instrumen seperti yang ditunjukkan dalam indeks kesepadanan model dalam model cadangan df=31, Ratio=2.74, RMSEA=.065, TLI=.975, dan CFI=.93). Kajian ini telah mencadangkan model pengukuran tiga konstruk laten dengan 72 item indikator bagi instrumen penilaian keberkesanan program. Dapatan kajian ini juga turut menjelaskan bahawa instrumen ini boleh digunakan bagi mengukur dan menilai program-program pendidikan khususnya di peringkat Institut Pendidikan Guru.