Pengajaran Secara Berkumpulan dalam Program Pemulihan Khas di Sekolah Kebangsaan Johor (original) (raw)

2012, Universiti Teknologi Malaysia

Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap perlaksanaan, penguasaan, keberkesanan dan masalah-masalah pengajaran secara berkumpulan oleh guru pemulihan dalam program pemulihan khas dari 40 buah sekolah kebangsaan di Johor. Seramai 40 orang responden yang terdiri daripada guru-guru pemulihan dari 40 buah sekolah kebangsaan di Johor telah dipilih secara kelompok atas kelompok. Soal selidik digunakan sebagai instrumen kajian yang telah diubahsuai daripada penyelidik-penyelidik lepas. Instrumen soal selidik ini digunakan untuk membuat kajian rintis bagi menguji kebolehpercayaan/analisis kesahihan. Darjah kebolehpercayaan (alfa cronbach) bagi instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah 0.707. Kajian ini dianalisis menggunakan Perisian Statistical Packages For the Social Science (SPSS) For Windows (Version 20.0) berbentuk statistik deskriptif iaitu peratusan, kekerapan dan min serta statistik inferensi iaitu Ujian t. Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap perlaksanaan, penguasaan, keberkesanan pengajaran secara berkumpulan oleh guru pemulihan dalam program pemulihan khas berada pada tahap yang tinggi. Kajian mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam penguasaan kaedah pengajaran secara berkumpulan mengikut opsyen dan pengalaman. Tetapi terdapat perbezaan yang signifikan dalam penguasaan kaedah pengajaran secara berkumpulan mengikut jantina. Terdapat juga masalah-masalah yang dihadapi oleh guru pemulihan seperti kawalan kelas, fokus murid, kekangan masa, ketidakhadiran dan beban kerja. Oleh yang demikian, peranan dan kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah penting dalam membantu menangani masalah penguasaan 3M murid