Unsur Kearifan Tempatan dalam Fiqh Budaya dan Seni Melayu (original) (raw)

2018, Kertas Kerja SHISIX

Kedatangan Islam ke rantau Alam Melayu telah membawa perubahan yang besar ke atas cara fikir dan tingkah laku masyarakat Melayu. Hasil interaksi masyarakat setempat dengan prinsip wahyu dan nilai hukum telah mempengaruhi pembentukan kearifan tempatan yang unggul. Ini diperkukuhkan lagi dengan latar belakang alam sekeliling yang kaya dengan flora dan fauna telah menghasilkan budaya setempat yang harmoni. Menurut Hamka, fenomena alam ini telah melahirkan alunan musik dari alam. Malah seni yang terhasil di Alam Melayu menggambarkan nilai kesantunan dan kelembutan, cerminan karakter masyarakat setempat. Dalam sejarah kedatangan Islam ke Alam Melayu, pendakwah awal juga menerapkan pendekatan seni dan budaya dalam proses pengislaman. Antaranya menggunakan medium wayang kulit dan gamelan. Di samping itu, kehadiran mubaligh awal telah mewarnai seni di Alam Melayu dengan pengenalan seni qasidah, burdah, zapin dan seumpamanya. Ia merupakan hasil daripada kearifan tempatan dalam membentuk seni musik sebagai medium pendidikan. Namun begitu, dalam masyarakat Melayu, terdapat seni sebagai medium hiburan seperti dikir barat, boria; seni sebagai medium perawatan, misalnya seperti main puteri, ulik mayang dan juga pemujaan seperti kuda kepang dan mak yong. Ia merupakan hasil daripada kepandaian tempatan yang diwarisi dari zaman sebelum Islam. Sehubungan dengan itu, kajian ini menfokuskan kepada analisis kearifan tempatan yang berkaitan dengan budaya dan seni Melayu dari perspektif hukum Islam. Bagi mencapai objektif tersebut, kajian kualitatif akan menggunakan pendekatan perpustakaan sepenuhnya dan data yang dikumpulkan akan dianalisis secara induktif bagi merumuskan unsur kearifan tempatan dalam budaya dan seni masyarakat Melayu. Hasil kajian mendapati bahawa, budaya dan seni masyarakat Melayu mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana kearifan tempatan yang terbentuk adalah paduan daripada nilai wahyu, inspirasi alam dan budaya setempat. Ia membentuk seni yang halus, lembut lagi menenangkan jiwa. Namun, bagi seni yang bertentangan dengan Syarak ia termasuk dalam kategori kearifan tempatan yang ditolak kerana adanya unsur pemujaan dan khurafat.