PENGARUH PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL DALAM FAHAMAN ANTI HADIS (original) (raw)

2017, E-Proceeding of the 2nd INHAD Internatinal Muzakarah & Muktamar on Hadith

Abstrak Isu mengenai Anti Hadis di Malaysia bermula pada tahun 1986 ekoran daripada penulisan kontroversi bertajuk Hadis Satu Penilaian Semula oleh Kassim Ahmad. Di dalam buku tersebut, beliau cuba mengupas masalah perpecahan ummah. Menurut beliau, keimanan kepada Hadis sebagai sumber rujukan selepas al-Quran telah menjadi faktor utama perpecahan ummah tersebut. Oleh yang demikian, golongan Anti Hadis menyarankan supaya umat Islam merujuk kepada al-Quran sahaja sebagai panduan hidup. Artikel ini akan membahaskan tentang fahaman Anti Hadis dan hubungannya dengan pemikiran Islam liberal. Kajian ini berbentuk kualitatif-analisis kandungan yang akan menjelaskan tentang pemikiran Anti Hadis melalui penulisan Kassim Ahmad. Kajian mendapati bahawa Anti-Hadis meneruskan gagasan-gagasan idea yang dibawa oleh kumpulan Islam Liberal seperti mengkritik ulama dan pemahaman Islam semasa, dasar keterbukaan kepada semua fahaman dan ideologi serta mentafsir nas secara historis dan hermeneutik. Kata Kunci: Anti Hadis, Kassim Ahmad dan Islam Liberal 1. Pengenalan Islam liberal adalah sebuah ideologi yang semakin berkembang dalam kehidupan masyarakat Islam kini. Gerakan Islam Liberal mengambil landskap Renaissance di Barat sebagai asas kepada semangat pembebasan yang mereka inginkan. Jika John Locke, Jean-Jacques Rousseau, Adam Smith dan lain-lain tokoh liberal di Barat telah berjaya membentuk satu kehidupan baru dalam kehidupan masyarakat Barat dengan idea-idea pemebebasan, sekular dan individualistik, maka umat Islam juga mampu membangunkan masyarakat mereka dengan cara tersebut. Walaupun tidak seratus peratus sama, namun mereka bersetuju dengan kerangka pemikir Barat tersebut yang menuntut usaha pembaharuan dalam memahami agama dan nas dalam kehidupan moden. Dari segi idea dan pemikiran, Islam Liberal mungkin telah bermula lebih lama namun istilah "Islam Liberal" mula dipromosikan oleh Leonard Binder pada tahun 1988 menerusi penulisannya yang bertajuk Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies dan diikuti oleh Charles Kurzman dalam penulisannya, Liberal Islam: A Source-Book yang diterbitkan pada tahun 1998. Kedua-dua buku ini menjadi rujukan utama bagi pendukung fahaman Islam Liberal di seluruh dunia. Antara nama-nama tokoh yang mendukung ideologi