Polyandry Research Papers - Academia.edu (original) (raw)
Sistem perkahwinan dalam masyarakat dunia boleh dikategorikan kepada dua bentuk utama, iaitu monogami dan poligami. Perkahwinan berbentuk monogami merupakan amalan terbesar dalam masyarakat berbanding poligami. Perkahwinan monogami... more
Sistem perkahwinan dalam masyarakat dunia boleh dikategorikan kepada dua bentuk utama, iaitu monogami dan poligami. Perkahwinan berbentuk monogami merupakan amalan terbesar dalam masyarakat berbanding poligami. Perkahwinan monogami merujuk kepada ikatan perkahwinan yang melibatkan satu pasangan suami dan isteri dalam satu tempoh masa, manakala perkahwinan poligami melibatkan satu individu berkahwin dengan beberapa orang dalam satu tempoh masa. Ia boleh dibahagikan kepada poligini (seorang suami yang mempunyai beberapa orang isteri) dan poliandri (seorang isteri yang mempunyai beberapa orang suami). Biasanya, istilah poligami popular digunakan untuk merujuk kepada amalan poligini.
Secara pensejarahannya, praktik poligami telah menjadi amalan sejak zaman silam. Dalam hal ini, amalan poligini mendapat kritikan keras pelbagai pihak kerana menyebabkan kezaliman dan penindasan kepada golongan wanita. Salah satu cadangan bagi menandingi dan mencabar amalan masyarakat patriaki itu adalah dengan membenarkan perkahwinan poliandri bagi mencapai persamaan gender antara lelaki dan wanita. Mereka menjadikan ratu lebah sebagai inspirasi kerana mempunyai banyak pasangan jantan.
Menurut Laura A. Benedict dalam Polyandry Around The World, amalan poliandri boleh dilihat dalam enam bentuk utama, pertama poliandri persaudaraan (fraternal polyandry). Ia melibatkan perkahwinan seorang wanita dengan dua atau lebih saudara lelaki yang mempunyai hak yang sama dalam rumah tangga dalam satu majlis. Umpamanya komuniti Tigara di Alaska dan Paviotso di Nevada. Kedua, poliandri bersekutu (associated polyandry). Dalam kategori ini, seorang wanita berkahwin dengan dua atau lebih lelaki secara berasingan dalam upacara terpisah. Ia diamalkan penduduk Pulau Marquesas di Lautan Pasifik dan Cubeo di Colombia. Ketiga, polykoity. Ia merujuk kepada seorang wanita berkahwin dengan seorang lelaki, tetapi dalam masa yang sama turut melakukan hubungan seks dengan lelaki lain selain suaminya. Umpamanya komuniti Yanomami di Brazil dan Ache di Paraguay. Keempat, poliandri sekunder. Dalam praktiknya, pasangan suami isteri yang asal telah bercerai dan masing-masing memperolehi pasangan baharu, tetapi mereka terus melakukan hubungan seks setiap kali mereka inginkannya. Umpamanya komuniti G/wi di Gurun Kalahari dan Irigwe di Nigeria. Kelima, perkahwinan berjalan (walking marriage), atau poliandri Nayar. Dalam kategori ini, pasangan tidak hidup bersama sebagai suami dan isteri. Sebaliknya, wanita bebas memilih dan bertukar ganti pasangan sesuai keinginannya. Komuniti yang mengamalkan termasuklah Lele di Kongo, Nayar di India dan Mosuo di China. Keenam, poliandri keluarga (familial polyandry), ketika wanita itu berkahwin dengan seorang lelaki, dan dia akan bersedia melakukan hubungan seks dengan orang lain di luar perkahwinan, terutama anggota keluarga. Ia diamalkan oleh komuniti Point Hope, Alaska dan Cherokee di New York.
Jika dilihat pada zaman Arab Jahiliyyah, amalan seks bebas dan perzinaan berlaku secara berleluasa. Malahan amalan poliandri turut dilakukan. Senario ini dapat dilihat dalam Hadis Nabi SAW: …sekumpulan kurang dari sepuluh orang lelaki akan berkumpul dan menggauli seorang wanita. Sekiranya dia hamil dan melahirkan anak dan beberapa hari telah berlalu setelah melahirkan, dia akan meminta mereka semua hadir dan tidak ada yang menolak untuk datang. Ketika mereka semua berkumpul di hadapannya, dia akan berkata kepada mereka, "Kamu (semua) tahu apa yang telah anda lakukan, dan sekarang saya telah melahirkan seorang anak. Jadi, itu adalah anak anda begitu-dan-begitu!" Dia menamakan siapa sahaja yang disuka, dan anaknya akan mengikuti lelaki pilihannya dan dia tidak boleh menolak untuk membawanya… Tetapi ketika Nabi Muhammad SAW diutus dengan kebenaran, baginda menghapuskan semua jenis perkahwinan yang dilakukan pada zaman jahiliyyah kecuali jenis perkahwinan yang orang ramai amalkan sekarang. (HR al-Bukhari, no hadis: 5127)
Dengan diutuskan Nabi Muhammad SAW, martabat dan maruah wanita diangkat dan diletakkan pada kedudukan yang lebih baik, tidak lagi sebagai objek atau komoditi seksual. Sejajar dengan itu, amalan poliandri ini dilarang dengan tegas sama ada dalam al-Qur’an atau Sunnah Nabi SAW. Dalam surah al-Nisa’, ayat 4, Allah SWT berfirman: Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. Secara tersurat ayat tersebut melarang wanita berkahwin lebih dari seorang lelaki dalam satu tempoh masa. Begitu juga dengan hadis Nabi: Siapa saja wanita yang dinikahkan oleh kedua orang wali, maka (pernikahan yang sah) wanita itu adalah bagi (wali) yang pertama dari keduanya. (HR al-Tirmizi, no. hadis: 1110). Hadis tersebut secara tersirat menunjukkan bahawa jika dua orang wali menikahkan seorang wanita dengan dua orang lelaki secara berurutan, maka perkahwinan yang dianggap sah adalah akad nikah yang dilakukan wali yang pertama. Dengan itu tidak sah perkahwinan seorang wanita kecuali dengan seorang suami sahaja dan isteri tidak boleh mengumpulkan dua atau lebih suami dalam satu masa.
Jelasnya, Islam menganjurkan perkahwinan sebagai jalan untuk menyalurkan naluri seksual dan rasa cinta antara lelaki dengan perempuan dengan cara yang halal dan terhormat bukan sekadar untuk memuaskan nafsu seks semata-mata. Tujuan asasnya untuk memenuhi tuntutan maqasid Syariah bagi memelihara keturunan (hifz al-nasl) manusia di samping melahirkan rumahtangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah. Untuk itu, Islam mengharamkan amalan poliandri malah ia dianggap sebagai zina. Selain itu, Islam juga melarang seorang lelaki daripada berkahwin dengan wanita yang masih terikat dengan perkahwinan bersama lelaki lain (isteri orang) dan wanita yang masih berada dalam tempoh iddah dengan lelaki lain. Sekiranya berlaku perkahwinan berbentuk poliandri, status perkahwinan tersebut tidak sah, hukumnya haram dan perkahwinan perlu dibubarkan. Isteri poliandri tidak berhak atas mahar, nafkah dan tidak saling mewarisi pusaka antara suami isteri. Lebih malang lagi, anak yang dilahirkan statusnya tidak sah taraf dan tidak boleh mewarisi pusaka bapanya. Dalam perkahwinan poliandri, sulit untuk menentukan garis keturunan dari anak yang dilahirkan kerana percampuran benih, justeru hal ini nantinya memberikan kesan negatif terhadap anak yang dilahirkan dari aspek aurat, mahram, perwalian, dan pusaka.
Lazimnya dalam amalan poliandri yang dilakukan oleh beberapa masyarakat seluruh dunia, ia tidak menggambarkan atau memberikan kelebihan yang banyak kepada wanita walaupun mempunyai suami yang ramai. Pada dasarnya, faktor ekonomi menjadi dorongan yang mana persekitaran tidak kondusif untuk produktiviti dan saiz tanah terhad untuk menyokong populasi berkepadatan rendah. Jadi amalan poliandri menjadi pilihan untuk mengawal pertumbuhan populasi, penduduk dan dapat menjimatkan perbelanjaan. Selain itu, amalan ini juga dilakukan bagi mengawal aliran harta keluarga kepada pihak luar. Dengan perkahwinan poliandri di antara adik beradik dengan seorang isteri, semua tanah dan harta keluarga tidak akan dibahagikan antara semua saudara, dan ia merupakan cara bagi keluarga tersebut untuk memelihara kekayaan mereka. Di samping itu, bagi sesetengah komuniti, perkahwinan poliandri dapat memberikan kepelbagaian genetik dan autonomi seksual.
Bagi mereka yang mempejuangkan kesaksamaan gender, mereka mungkin menganggap bahawa hubungan perkahwinan poliandri ini akan memberi hak kepada seorang wanita untuk memiliki lebih dari seorang suami, lantas mampu mengangkat status mereka dalam masyarakat dan menjadikan mereka sama kedudukannya dengan lelaki yang mengamalkan poligini. Bagaikan indah khabar dari rupa, sebaliknya, dalam komuniti yang mengamalkan poliandri, seorang wanita tidak mempunyai hak miliknya sendiri dalam rumahtangga kerana kekangan ekonomi, malahan menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat yang mengamalkan poliandri untuk mengecualikan wanita daripada mewarisi harta. Harta benda banyak dikendalikan bersama oleh anggota lelaki dalam keluarga besar terutama yang tua. Situasi ini adalah satu bentuk proses marginalisasi wanita atau pemiskinan ekonomi mereka dan boleh menyebabkan ketidakadilan gender dalam masyarakat.
Bertitik tolak daripada itu, Islam melarang tegas perkahwinan poliandri kerana ia bertentangan dengan panduan al-Qur’an dan al-Sunnah, juga perundangan Islam di Malaysia di samping ia bersalahan dengan norma sosial dan nilai moral dalam kehidupan masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Islam juga menitikberatkan penjagaan nasab atau keturunan manusia melalui akad nikah yang sahih. Ini kerana perkahwinan bukan hanya medium untuk memenuhi tuntutan naluri syahwat tetapi untuk menyempurnakan sebahagian tuntutan agama di samping mewujudkan rumahtangga yang bahagia. Justeru, usaha untuk mempromosikan atau mengangkat perkahwinan poliandri sebagai perjuangan kesaksamaan gender antara lelaki dan wanita ini merupakan idea yang mundur dan bertolak ke belakang kerana ia tidak dapat berfungsi sebagai penyelesaian yang tuntas sebaliknya menambah lagi beban kepada golongan wanita. Legalisasi perkahwinan poliandri wajar ditolak.