Kerangka RESET (original) (raw)

Reset Strategy

Ke Arah Penjagaan Kesihatan Swasta yang Lebih Mampu Milik

Peningkatan kos penjagaan kesihatan dan kos perubatan menjadi kebimbangan utama bagi rakyat Malaysia. Usaha menangani cabaran ini memerlukan komitmen semua pihak berkepentingan untuk bekerjasama bagi membentuk sistem penjagaan kesihatan swasta yang mampan, telus dan memberikan nilai sebenar. Matlamat terasnya adalah untuk melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia dan memperkukuh daya tahan negara.

RESET ialah pendekatan seluruh negara untuk memajukan pembaharuan bagi menangani punca sebenar inflasi perubatan. RESET mengutamakan penjagaan kesihatan berasaskan nilai, yang memberikan tumpuan pada hasil keseluruhan bagi pesakit, mengoptimumkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menjimatkan kos, dan meningkatkan akses kepada penjagaan berkualiti.

Usaha ini menggembleng peserta dan pihak berkepentingan utama, yang merangkumi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO), hospital dan klinik swasta, doktor, kumpulan pengguna dan pihak berkepentingan lain untuk melaksanakan pelbagai inisiatif yang berpandukan lima teras strategik.

Menyusun semula MHIT (Revamp MHIT)

Meningkatkan ketelusan harga (Enhance price transparency)

Memperkukuh sistem kesihatan digital (Strengthen digital health system)

Meluaskan pilihan yang menjimatkan kos (Expand cost-effective options)

Menambah baik mekanisme pembayaran penyedia (Transform provider payment mechanisms)

Strategi RESET mencerminkan komitmen untuk bertindak balas melalui pendekatan seluruh negara, yang diperlukan untuk menangani pelbagai isu daripada segenap aspek, demi menyampaikan hasil kesihatan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Inisiatif di bawah Strategi RESET berfungsi selari dengan pembaharuan lain untuk memperkukuh dan memperbaharui penjagaan kesihatan di Malaysia. Inisiatif ini merangkumi pembaharuan kesihatan yang dibentangkan dalam Kertas Putih Kesihatan Malaysia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS)

Menyedari usaha menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan memerlukan pendekatan seluruh negara, sebuah jawatankuasa antara agensi telah ditubuhkan untuk memacu inisiatif RESET.

Usaha kolaboratif ini diterajui oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS), yang ditubuhkan pada bulan Jun 2025. JBMKKS dianggotai wakil-wakil daripada MOF, KKM, dan BNM. Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Menteri Kewangan II

YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad
Menteri Kesihatan

Bagi menyokong mandatnya, JBMKKS dibantu oleh Jawatankuasa Pemandu dan Majlis Perundingan. Jawatankuasa Pemandu dianggotai wakil-wakil daripada MOF, KKM, dan BNM untuk menyelaraskan dasar dan pelaksanaan. Manakala Majlis Perundingan pula menghimpunkan pihak berkepentingan utama, termasuk hospital swasta, ahli perubatan, syarikat insurans dan pengendali takaful, kumpulan pengguna, serta ahli akademik untuk memberikan input teknikal dan maklum balas.

Majlis Perundingan diwakili oleh:

Siaran Akhbar